Friday, June 1, 2012

~ JUMU'AH MUBARAKAH ~


11 Rejab 1433H
Antara amalan sunnah di hari Jumaat ialah:
a) Digalakkan membaca surah as-Sajjadah dan al-Insan di dalam solat Subuh jika berkemampuan menghafalnya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِ الم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى ، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا “
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam sering membaca dalam solat Subuh di hari Jumaat “Alif Lam Mim Tanzil …” (surah As-Sajjadah) pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat kedua.” [Sahih Muslim: 1462]
b) Memperbanyakkan selawat
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ ، قال : قال رسول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ ، فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً “
Abu Umamah Radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Perbanyakkan selawat kepadaku  pada setiap Jumaat. Ini kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap Jumaat. Sesiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku. [HR al-Baihaqi di dalam Sya’bul Iman: 2777, Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan lighairihi. Lihat Sahih al-Jami’: 1673]
c) Membaca surah al-Kahfi
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِنَّ مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri Radiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum’at, dia akan disinari oleh cahaya di antara dua jumaat. [HR al-Hakim di dalam al-Mustadrak: 3320, Shaikh al-Albani menyatakan ia sahih, lihat Sahih al-Jami’: 6470]
d) Memperbanyakkan doa di sepanjang hari Jumaat:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، فَقَالَ : ” فِيهِ سَاعَةٌ لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ وَهُوَ يُصَلِّي ، يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bersabda tentang hari Jumaat: Padanya terdapat satu masa. Tidaklah masa itu bertepatan dengan saat seorang hamba yang Muslim berdoa dengan meminta kepada Allah sesuatu, kecuali Dia akan memberikannya. [Sahih Muslim: 1412]

e) Mandi bagi mereka yang menghadiri solat Jumaat:
فَقَالَ عُمَرُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ” إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْجُمُعَةِ فَلْيَغْتَسِلْ “
Umar Radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila seseorang daripada kalian pergi mendirikan solat Jumaat, hendaklah dia mandi. [Sahih Muslim: 1402]

f) Memakai pakaian yang cantik:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، وَأَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَا : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَبِسَ مِنْ أَحْسَنِ ثِيَابِهِ وَمَسَّ مِنْ طِيبٍ إِنْ كَانَ عِنْدَهُ ، ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَلَمْ يَتَخَطَّ أَعْنَاقَ النَّاسِ ، ثُمَّ صَلَّى مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ ، ثُمَّ أَنْصَتَ إِذَا خَرَجَ إِمَامُهُ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ صَلَاتِهِ ، كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ جُمُعَتِهِ الَّتِي قَبْلَهَا
Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah Radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang terbaik, memakai minyak wangi jika dia memilikinya. Kemudian pergi menghadiri solat Jumaat dan dia tidak melangkah leher orang lain. Kemudian dia mendirikan solat yang telah Allah tetapkan untuknya. Kemudian dia diam daripada saat imam keluar (untuk berkhutbah) hingga imam menamatkan solatnya. Itu semua menjadi kafarah/penghapusan dosa untuk apa yang ada antara hari tersebut dan Jumaat sebelumnya. [Sunan Abi Daud: 290]
g) Memakai minyak wangi.

Hadis Abu Hurairah r.a: 
Daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda s.a.w telah bersabda: Hak untuk Allah yang harus dipenuhi oleh setiap muslim, bahawa dia hendaklah membersihkan diri iaitu mandi pada setiap tujuh hari serta membasuh kepala dan tubuhnya.

Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1402

h) Tidak melangkahi saf-saf manusia.
i) Mendirikan solat sunat ketika menunggu imam untuk keluar berkhutbah.
j) Diam ketika imam berkhutbah.

Menurut mazhab Syafie berkata-kata ketika berkhutbah adalah haram atau makhruh. Hal ini diperkuatkan lagi menerusi hadith yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tirmizi.
Daripada Abi Hurairah, bahawasanya Nabi s.a.w bersabda, “Barangsiapa berkata ia pada hari Jumaat padahal imam sedang berkhutbah akan seperti kalimah “Ansir” (maksudnya diam kamu dari berkata-kata) maka sungguhnya lagha ia.”
k) Melakukan solat sunat selepas solat Jumaat:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمُ الْجُمُعَةَ ، فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا “


Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila salah seorang kalilan mendirikan solat Jumaat, maka solatlah selepasnya empat rakaat. [Sahih Muslim: 1463]